18 Jun 2009

PLKN Sasar 10 Peratus Masuki Pasukan Sukarela JPAM

 
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mensasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 140,000 pelatihnya tahun ini akan menyertai pasukan sukarela Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata perbincangan awal telah diadakan dengan Ketua Pengarah JPAM berhubung perkara itu dan pelancarannya akan diumum tidak lama lagi.

"Pelatih-pelatih ini akan digalakkan memasuki pasukan sukarela JPAM yang antara tujuannya adalah bagi menggalakkan penglibatan mereka sekiranya berlaku kecemasan dan bencana yang menimpa negara.

"Ia juga sebenarnya adalah sebahagian daripada kokurikulum penting dalam PLKN iaitu menggalakkan kesemua pelatih menjadi anggota sukarela yang dapat meningkatkan semangat jati diri dan cintakan keamanan negara," katanya pada sidang akhbar selepas melawat aktiviti menembak di lapang sasar Kem Sungai Besi di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata 30 peratus daripada jumlah pelatih pada tahun ini pula dijangka menyertai program sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam ketiga-tiga cabang, manakala 50 peratus lagi disasarkan kepada penyertaan dalam Rakan Cop.

JLKN pada tahun 2007 dan 2008, telah menerima sebanyak 12,126 permohonan daripada pelatihnya untuk menyertai Pasukan Simpanan Angkatan Tentera iaitu seramai 5,319 pelatih pada tahun 2007 dan 6,807 pada 2008.

Program Rakan Cop PLKN yang dilancar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir tahun lepas pula menyaksikan seramai 724 orang di sekitar Selangor menyertai Rakan Cop.

Pada 24 Feb ini, anggota PDRM akan mengadakan siri ceramah dalam Program Pencegahan Jenayah dan dijangka sebahagian besar 32,000 pelatih Kumpulan 1 Siri 6/2009 akan menyertai Rakan Cop.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata perbincangan juga akan diadakan dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi menggalakkan penyertaan sukarelawan di kalangan pelatih-pelatihnya iaitu dalam program Rakan Muda dan Persatuan Belia.

"Saya merasa amat bangga apabila statistik menunjukkan 68 peratus (2007 dan 2008) pelatih PLKN yang telah mengakhiri latihan telah mendaftarkan diri untuk memasuki pasukan sukarela.

"Harus diingatkan penyertaan dan jemputan pelatih-pelatih ini ke dalam pasukan sukarela, bukan atas dasar paksaan tetapi secara sukarela. Saya harap ibu bapa dapat lihat peluang ini untuk meningkatkan jati diri dan menggalakkkan anak-anak mereka terlibat dalam kerja-kerja sukarela," katanya.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=388788

17 Jun 2009

JPA3 Kini Diganti Dengan Akronim JPAM

 
KOTA BAHARU, 19 Okt (Bernama) -- Jabatan Pertahanan Awam kini menggunakan singkatan nama JPAM dan tidak lagi JPA3.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata pertukaran akronim itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

"Jabatan Pertahanan Awam masih mengekalkan nama asal, namun angka 3 dibuang dan ditukar kepada Malaysia, untuk menjadikan singkatan nama jabatan itu kini sebagai JPAM.

"Nama singkatan JPA3 menimbulkan kekeliruan kerana ada beberapa jabatan lain yang turut menggunakan singkatan seperti itu iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Penerangan Awam.

"Ramai yang bertanya kenapa mesti ada nombor iaitu JPA3, bukan JPA1 atau JPA2 dan apakah fungsi nombor di belakangnya. Kita mahu JPAM dikenali dengan sekali sebutan sahaja," katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri bersama kakitangan dan anggota JPAM Kelantan di sini, Ahad.

Beliau berkata Majlis Tertinggi JPAM telah meluluskan penggunaan akronim baru itu yang berkuat kuasa serta merta.

-- BERNAMA 

Sumber Bernama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails