Pada 24-28 Mei 2009, bertempat di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Temerloh, telah diadakan satu Kursus Asas Pertahanan Awam siri 3/2009 yang melibatkan 23 Komander Pertahanan Awam unit UiTM Pahang dan beberapa lagi peserta luar yang turut serta menjayakan kursus asas ini. Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi membolehkan semua peserta, terutama Komander dari unit UiTM Pahang mendapat sijil yang melayakkan mereka bergelar sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia dan menambah ilmu pengetahuan tentang cara menyelamat dalam Pertahanan Awam.
Semua peserta membuat pendaftaran pada hari pertama kursus tersebut. Pada sebelah malam pula, peserta di bawa ke bilik kuliah bagi mendengar taklimat tentang perjalanan kursus asas ini.Peserta dibekalkan dengan sedikit nota asas dan jadual perjalanan kursus tersebut.
Keesokan harinya, 25 Mei, semua peserta dikehendaki berkumpul dan sesi penaikan bendera dan kawad kaki diadakan dimana aktiviti ini akan diadakan pada setiap pagi sepanjang kursus tersebut.Antara aktiviti peserta pada hari pertama ialah peserta diberi ceramah tentang Pengenalan Pertahanan Awam. Selepas itu, peserta diajar pula tentang bencana dan cara mengurus pusat pemindahan. Pada sebelah petang, peserta diajar tentang ikatan dan simpulan. Selepas solat asar, semua peserta perlu menjalani aktiviti riadah dimana peserta diminta menari poco-poco yang turut disertai semua jurulatih. Selepas penat beriadah, peserta diberi masa untuk menyegarkan badan dan menunaikan solat maghrib. Pada sebelah malam 25 Mei, peserta diajar tentang usungan.
Pada 26 Mei, hari ke-3, selepas melakukan rutin wajib, peserta diajar pula tentang pertolongan cemas, luka, pendarahan, dan kepatahan ( teori ). Pada sebelah petang, peserta mempelajari ilmu balutan. Aktiviti riadah itu terpaksa dilakukan dalam keadaan hari hujan. Namun, aktiviti riadah tetap berjalan dengan meriah. Pada malamnya, teori CPR dan tercekik pula diajar oleh jurulatih kepada peserta.
Pada 27 Mei, peserta diajar pula tentang mengawal kebakaran dan cara pengendalian alat pemadam api. Peserta diberi peluang untuk mengendalikan alat pemadam api dalam keadaan yang sebenar dimana peserta diminta memadamkan api yang dinyalakan oleh jurulatih-jurulatih.Semua peserta berjaya melakukannya dengan cemerlang. Pada sebelah malam, simulasi diadakan dimana peserta dapat merasai keadaan sebenar sesuatu kejadian. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan dikehendaki menyelamatkan beberapa mangsa ribut. Situasi yang peserta tempuhi seolah-olah situasi sebenar. Dengan berbekalkan ilmu yang diajar sepanjang kursus itu, semua peserta berjaya menyelamatkan semua mangsa ribut tersebut. Selepas itu, jurulatih-jurulatih membuat pos mortem mengenai aktiviti tersebut.
Pada 28 Mei, hari terakhir kursus, satu ujian telah diadakan dimana ujian tersebut bertujuan menilai kemampuan peserta serta kefahaman peserta serta menjadi penilaian bagi peserta samaada mereka layak atau tidak mendapat sijil tamat kursus. Selepas ujian, peserta diberi sedikit masa untuk mengemas tempat penginapan mereka dan mengemas barang-barang. Selepas itu, majlis penutup dan penyampaian hadiah beserta sijil diadakan menandakan tamatnya kursus asas yang penuh bermanfaat ini. Seperti kata pepatah, setiap pertemuan pasti akan disusuli dengan perpisahan. Sebelum semua peserta dan jurulatih berpisah, satu sesi fotografi diadakan. Berat rasanya bagi semua peserta kursus kali ini untuk beerpisah kerana ukhuwah antara peserta termasuk peserta luar amat utuh walaupun hanya seminggu kursus diadakan.
Semoga lebih ramai lagi generasi akan datang yang berminat untuk menyertai kursus sebegini.
2 ulasan:
SELAMAT MAJU JAYA KOMANDER JUNIOR UITM PAHANG.TERUS BEKERJA UNTUK NAIKKAN NAMA KOMANDER JPAM UITM PAHANG.
DR:C 48342 KOMANDER MADYA MD
HASRI 07-09
(PEMBANTU KESATRIA IKBN PAGOH)
apa yang saya cari, terima kasih
Catat Ulasan