16 Julai 2009

KURSUS ASAS PERTAHANAN AWAM SIRI 3/2009

Pada 24-28 Mei 2009, bertempat di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Temerloh, telah diadakan satu Kursus Asas Pertahanan Awam siri 3/2009 yang melibatkan 23 Komander Pertahanan Awam unit UiTM Pahang dan beberapa lagi peserta luar yang turut serta menjayakan kursus asas ini. Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi membolehkan semua peserta, terutama Komander dari unit UiTM Pahang mendapat sijil yang melayakkan mereka bergelar sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia dan menambah ilmu pengetahuan tentang cara menyelamat dalam Pertahanan Awam.
Semua peserta membuat pendaftaran pada hari pertama kursus tersebut. Pada sebelah malam pula, peserta di bawa ke bilik kuliah bagi mendengar taklimat tentang perjalanan kursus asas ini.Peserta dibekalkan dengan sedikit nota asas dan jadual perjalanan kursus tersebut.
Keesokan harinya, 25 Mei, semua peserta dikehendaki berkumpul dan sesi penaikan bendera dan kawad kaki diadakan dimana aktiviti ini akan diadakan pada setiap pagi sepanjang kursus tersebut.Antara aktiviti peserta pada hari pertama ialah peserta diberi ceramah tentang Pengenalan Pertahanan Awam. Selepas itu, peserta diajar pula tentang bencana dan cara mengurus pusat pemindahan. Pada sebelah petang, peserta diajar tentang ikatan dan simpulan. Selepas solat asar, semua peserta perlu menjalani aktiviti riadah dimana peserta diminta menari poco-poco yang turut disertai semua jurulatih. Selepas penat beriadah, peserta diberi masa untuk menyegarkan badan dan menunaikan solat maghrib. Pada sebelah malam 25 Mei, peserta diajar tentang usungan.
Pada 26 Mei, hari ke-3, selepas melakukan rutin wajib, peserta diajar pula tentang pertolongan cemas, luka, pendarahan, dan kepatahan ( teori ). Pada sebelah petang, peserta mempelajari ilmu balutan. Aktiviti riadah itu terpaksa dilakukan dalam keadaan hari hujan. Namun, aktiviti riadah tetap berjalan dengan meriah. Pada malamnya, teori CPR dan tercekik pula diajar oleh jurulatih kepada peserta.
Pada 27 Mei, peserta diajar pula tentang mengawal kebakaran dan cara pengendalian alat pemadam api. Peserta diberi peluang untuk mengendalikan alat pemadam api dalam keadaan yang sebenar dimana peserta diminta memadamkan api yang dinyalakan oleh jurulatih-jurulatih.Semua peserta berjaya melakukannya dengan cemerlang. Pada sebelah malam, simulasi diadakan dimana peserta dapat merasai keadaan sebenar sesuatu kejadian. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan dikehendaki menyelamatkan beberapa mangsa ribut. Situasi yang peserta tempuhi seolah-olah situasi sebenar. Dengan berbekalkan ilmu yang diajar sepanjang kursus itu, semua peserta berjaya menyelamatkan semua mangsa ribut tersebut. Selepas itu, jurulatih-jurulatih membuat pos mortem mengenai aktiviti tersebut.
Pada 28 Mei, hari terakhir kursus, satu ujian telah diadakan dimana ujian tersebut bertujuan menilai kemampuan peserta serta kefahaman peserta serta menjadi penilaian bagi peserta samaada mereka layak atau tidak mendapat sijil tamat kursus. Selepas ujian, peserta diberi sedikit masa untuk mengemas tempat penginapan mereka dan mengemas barang-barang. Selepas itu, majlis penutup dan penyampaian hadiah beserta sijil diadakan menandakan tamatnya kursus asas yang penuh bermanfaat ini. Seperti kata pepatah, setiap pertemuan pasti akan disusuli dengan perpisahan. Sebelum semua peserta dan jurulatih berpisah, satu sesi fotografi diadakan. Berat rasanya bagi semua peserta kursus kali ini untuk beerpisah kerana ukhuwah antara peserta termasuk peserta luar amat utuh walaupun hanya seminggu kursus diadakan.
Semoga lebih ramai lagi generasi akan datang yang berminat untuk menyertai kursus sebegini.

15 Julai 2009

Sekalung Tahniah

Setelah menjalani latihan selama 3 hari sebagai intensif bagi penilaian awal bakal komander, dan mereka juga telah dihantar untuk kursus asas selama seminggu bagi memenuhi syarat-syarat komander, akhirnya kesemua pemohon bagi sesi komander baru bagi tahun 2009 telah diterima bagi berkhidmat dalam JPAM Unit UiTM Pahang.

Sekalung tahniah dari semua komander dari Unit JPAM UiTM Pahang diatas pelantikan tersebut. Harapan yg tinggi diharapkan daripada semua komander baru yang dilantik memberikan sepenuh komitmen dan bersemangat dalam menjalankan tugas. Sekian.

18 Jun 2009

PLKN Sasar 10 Peratus Masuki Pasukan Sukarela JPAM

 
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) mensasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 140,000 pelatihnya tahun ini akan menyertai pasukan sukarela Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata perbincangan awal telah diadakan dengan Ketua Pengarah JPAM berhubung perkara itu dan pelancarannya akan diumum tidak lama lagi.

"Pelatih-pelatih ini akan digalakkan memasuki pasukan sukarela JPAM yang antara tujuannya adalah bagi menggalakkan penglibatan mereka sekiranya berlaku kecemasan dan bencana yang menimpa negara.

"Ia juga sebenarnya adalah sebahagian daripada kokurikulum penting dalam PLKN iaitu menggalakkan kesemua pelatih menjadi anggota sukarela yang dapat meningkatkan semangat jati diri dan cintakan keamanan negara," katanya pada sidang akhbar selepas melawat aktiviti menembak di lapang sasar Kem Sungai Besi di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata 30 peratus daripada jumlah pelatih pada tahun ini pula dijangka menyertai program sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam ketiga-tiga cabang, manakala 50 peratus lagi disasarkan kepada penyertaan dalam Rakan Cop.

JLKN pada tahun 2007 dan 2008, telah menerima sebanyak 12,126 permohonan daripada pelatihnya untuk menyertai Pasukan Simpanan Angkatan Tentera iaitu seramai 5,319 pelatih pada tahun 2007 dan 6,807 pada 2008.

Program Rakan Cop PLKN yang dilancar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir tahun lepas pula menyaksikan seramai 724 orang di sekitar Selangor menyertai Rakan Cop.

Pada 24 Feb ini, anggota PDRM akan mengadakan siri ceramah dalam Program Pencegahan Jenayah dan dijangka sebahagian besar 32,000 pelatih Kumpulan 1 Siri 6/2009 akan menyertai Rakan Cop.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata perbincangan juga akan diadakan dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi menggalakkan penyertaan sukarelawan di kalangan pelatih-pelatihnya iaitu dalam program Rakan Muda dan Persatuan Belia.

"Saya merasa amat bangga apabila statistik menunjukkan 68 peratus (2007 dan 2008) pelatih PLKN yang telah mengakhiri latihan telah mendaftarkan diri untuk memasuki pasukan sukarela.

"Harus diingatkan penyertaan dan jemputan pelatih-pelatih ini ke dalam pasukan sukarela, bukan atas dasar paksaan tetapi secara sukarela. Saya harap ibu bapa dapat lihat peluang ini untuk meningkatkan jati diri dan menggalakkkan anak-anak mereka terlibat dalam kerja-kerja sukarela," katanya.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=388788

17 Jun 2009

JPA3 Kini Diganti Dengan Akronim JPAM

 
KOTA BAHARU, 19 Okt (Bernama) -- Jabatan Pertahanan Awam kini menggunakan singkatan nama JPAM dan tidak lagi JPA3.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata pertukaran akronim itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

"Jabatan Pertahanan Awam masih mengekalkan nama asal, namun angka 3 dibuang dan ditukar kepada Malaysia, untuk menjadikan singkatan nama jabatan itu kini sebagai JPAM.

"Nama singkatan JPA3 menimbulkan kekeliruan kerana ada beberapa jabatan lain yang turut menggunakan singkatan seperti itu iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Penerangan Awam.

"Ramai yang bertanya kenapa mesti ada nombor iaitu JPA3, bukan JPA1 atau JPA2 dan apakah fungsi nombor di belakangnya. Kita mahu JPAM dikenali dengan sekali sebutan sahaja," katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri bersama kakitangan dan anggota JPAM Kelantan di sini, Ahad.

Beliau berkata Majlis Tertinggi JPAM telah meluluskan penggunaan akronim baru itu yang berkuat kuasa serta merta.

-- BERNAMA 

Sumber Bernama

20 Mei 2009

MARI BERFORUM

 
 

Sukacitanya para pembaca blog Jurnal JPAM dijemput untuk memeriahkan forum yang baru sahaja dibina. Di sana boleh lah membincangkan pelbagai perkara yang berkaitan dengan JPAM mahupun yang tidak berkaitan secara meluas. Takkan nak borak2 kat shoutbox jer kan. Hehe.

Senang jer. Klik link di bawah untuk terus ke forum dan dengan langkah mudah daftarkan akaun anda. Seterusnya anda sudah boleh berforum. Gunakan secara bermanfaat.

Nota: Pelajar-pelajar KO JPAM UiTM Pahang amat digalakkan untuk mendaftarkan diri di sini

KLIK SINI UNTUK KE FORUM

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails